Monday, May 12, 2014

Masalah CINTA masalah DUNIA

Kerana pedasnya entriku kali ini, pasti bisa melarikan sebahagian besar pengunjung di sini (aku bersedia untuk itu). Kemaafan dipohon atas terlalu terbukanya aku memaparkannya, secara langsung menjadikan SangPelangi tersasar dari misi utama, iaitu sebagai catatan diari peribadi. Aku tahu wujudnya ruangan “Ada Masalah?” di atas itu adalah untuk membantu sesiapa yang dihambat kesusahan. Tapi aku masih tak mampu menjawab kerumitan tentang cinta.Mulanya aku begitu malu. Sehinggalah aku terlalu bersetuju, lalu tergerak tangan menjawab entri dari Leteran Hati, semata-mata untuk menunjukkan tanda sokonganku pada buah fikirannya. Berikut kusedut sikit coretannya (sumber):

Bagi aku, manusia yang mempunyai masalah cinta selalunya akan memilih antara tiga pilihan. Pertama, memendam rasa dan takkan ceritakan masalahnya itu pada sesiapa pun. Kedua, memilih untuk menceritakannya pada rakan-rakan terdekat. Ketiga, lebih selesa berkongsi masalah dengan total strangers yang tidak dikenali.

Rupanya inilah kunci segala jawapan. Aku mendedahkan secara jujur, tak kurang sepuluh emel yang hadir kepadaku adalah berkaitan cinta dan jodoh. 
Sehingga ada yang sanggup menjejak YM’ku melalui sahabat, add aku (istilah di YM) sebagai kenalan dan menceritakan segala macam pahit maung bercinta. Arkh, merimaskan. 
Sudahnya, aku berhalimunan atau aku masukkan IDnya ke dalam ignore list. Kepada yang masih kusimpan ID nya, berterima kasihlah padaku kerana tidaksempat berlaku kejam. 
Sampaikan ada yang merajuk dan marah-marah kerana tindakanku itu.Lebih menjengkelkan ada yang mengaku telus,“Aku lebih selesa ceritakan hal ini pada orang yang aku tak kenal.”Tapi, pernahkah dia terfikir, apa aku selesa untuk mendengarnya? Sungguh aku tak ingin tahu. 
Jangan sekali-kali ada yang mencuba bermain api denganku.
Murah sungguh cinta bila cerita sendunya dijaja untuk tatapan umum atau perseorangan.
 Begitu mudahnya mereka mencari lelaki yang entah diceduk emelnya dari mana dan sesuka hati berkenalan begitu saja. Tak takut terpedaya? 
Buaya di alam maya berencam spesisnya.
 Aku tidak menuduh sesiapa memakai topeng, tapi yang bermuka-muka sangat banyak. Alam maya jangan dibuat main. 
Persepsi ini harus diambil kira. Siapa tahu kalau aku juga sama keturunan ‘buaya’ tadi? Betulkan niat dulu sebelum bersahabat.Aku sedih atas dua perkara. Pertama, sedih kerana masalah cinta dianggap kerisauan dunia. 
Hampir kiamat bumi dirasakannya bila kemurungan. Ada sahabat lama mengatakan cinta itu permasalahan pokok yang mesti ditangani dulu, jika tidak terganggulah kerja seharian.
 Lihatlah, betapa kuatnya kekuasaan cinta antara manusia. Hingga boleh ketepikan semua benda. Lupa soal umat, bangsa, negara, anak watan. 
Sungguh individualistik. (Err.. kasarkah aku?)Kedua, sedih kerana aku terpilih menjadi mangsa golongan ketiga itu. Setulus hati, emel yang kadang-kala sepanjang cerpen itu, mudah saja aku tangani. 
Ke tong sampah. Itu lebih mulia daripada aku bersikap hipokrit, dengan membaca sebaris ayat saja dan membalas ringkas “Oh begitukah? Berusahalah.” Mujur aku tidak begitu.Itulah sebabnya, aku cuba menjauhkan diri dari membaca keluhan cinta di laman sawang. 
Memang blog itu tempat untuk meluahkan segalanya, tapi apakah selesai dengan cara itu? Lebih lega? Ingin lupakan, tapi meletakkan cerita itu di tempat yang paling diingat.
Malu bertanya, memanglah sesat jalan. Tapi salah bertanya, semakin jauhlah sesat. Bertanyalah pada tempatnya. 
Aku bukan tabib cinta. 
Pergilah cari siapa yang layak mendengar. Ibu bapa, abang kakak, pakar motivasi dan ramai lagi yang sedarjat. 
p/s: Huh. Aku berusaha untuk tidak beremosi kali ini. 
Artikel ini kutulis, supaya di masa mendatang mudah saja aku menjawab emel sebegitu dengan meletakkan pautan ke entri ini.
p/p/s: Aku berharap isu remeh ini tidak mengganggu proses ‘memberi’. Doakan agar aku mampu terus istiqamah.

No comments:

Post a Comment